Thursday, September 29, 2011

Pengenalan Fatwa

Apa itu 'Fatwa'?

DEFINISI FATWA
Dari Segi Bahasa Keputusan/ penjelasan/ jawapan terhadap sesuatu perkara yang dimusykilkan.

Dari Segi Istilah : Memberikan penjelasan Hukum Syarak bagi sesuatu masalah sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya, baik secara individu mahupun secara berjemaah.

Walaupun pelbagai definisi yang diberikan, namun di Malaysia pengeluaran fatwa perlu mengikut prosedur dan undang-undang. Apabila suatu fatwa hendak dikuatkuasakan ianya perlu diwartakan terlebih dahulu. Jika tidak diwartakan, ianya hanya menjadi pandangan mufti semata-mata dan sebagai rujukan hukum syarak.
 Berikut adalah peruntukan mengenai fatwa yang telah ditetapkan dalam undang-undang :

Di dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], peruntukan mengenai fatwa dijelaskan di bawah Seksyen 34 iaitu :

1.Maksud Fatwa iaitu pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atau yang  menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubung dengan Hukum Syarak;

2.Mengenai bila sesuatu fatwa itu boleh dibuat, iaitu apabila diperintahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, atau atas permintaan orang ramai melalui surat yang dihantar kepada Mufti, atau dibuat atas kehendak Mufti itu sendiri;

3.Sesuatu pernyataan yang dibuat oleh Mufti hanya boleh diambil sebagai fatwa jika pernyataan itu disiarkan dalam warta berhubung dengan Hukum Syarak;

4.Sesuatu fatwa yang telah disiarkan dalam warta hendaklah dipatuhi oleh semua umat Islam yang berada di negeri itu, kecuali amalan peribadi yang dibenarkan mengikut Hukum Syarak; dan

5.Fatwa yang diwartakan merupakan sebahagian daripada undang-undang yang perlu diikuti oleh semua Mahkamah Syariah bagi negeri itu.

No comments:

Post a Comment