Friday, September 30, 2011

Larangan Menghias dan Membuat Binaan di Atas Kubur

Seringkali kita melihat di mana-mana tanah perkuburan pasti ada kubur yang dihias cantik, sehinggakan kita sendiri terpesona dengan ukiran dan hiasan yang terdapat pada kubur tersebut. Namun, tahukah kita bahawa perkara tersebut dilarang sama sekali di dalam Islam sehinggakan ulama menghukumnya sebagai haram dan ada yang menghukumnya sebagai makruh mengikut keadaan-keadaan tertentu. 


sekadar gambar hiasan

Syarak telah melarang kita daripada membuat batas, menghias, memayungkan, mendirikan kubah, meninggikan tanah di atas permukaan kubur, membina bangunan, menulis dan mengecat kubur. Ini adalah berdasarkan fatwa Imam As-Syafie rahimahullah : Dari Abdullah Bin Hasanah berkata: “Aku melihat Uthman bin Affan R.A memerintahkan agar diratakan kubur. Maka dikatakan kepadanya: Ini kubur Ummu Amr binti Uthman, maka beliau menyuruh agar diratakan (tanah di atas kubur tersebut). (Diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam (المصنف) 4/138. Abu Zarah dalam (تاريخه) 2/66, 2/121. Sanadnya sahih dari Abdullah dan telah diwaridkan oleh Ibn Abi Hatim dalam (الجرح والتعديل) 3/81-82.)

Dari Abi Al-Hayyah Al-Asadi berkata: Berkata kepadaku Ali Bin Abi Talib : "Tidakkah aku mengutus engkau atas apa yang telah Rasulullah SAW mengutusku? Janganlah dibiarkan satupun berhala kecuali engkau menghancurkannya dan tidak dibiarkan sebuah kubur pun kecuali engkau meratakannya." (H/R Muslim, 3/61. Abu Daud, 3/70. an-Nasaii, 1/285. At-Tarmizi, 2/153-154. Al-Bahaiqi, 4/3. At-Tayalasi, 1/168. Dan Ahmad (741, 154). Ada beberapa jalan pada Ibnu Abi Syaibah, 4/139 dan At-Tabrani dalam (الصغير) hlm. 29).

Berkata Al-Allama Imam Al-Baghawi rahimahullah: Dilarang (diharamkan) dari meletak payung di atas kubur, kerana Umar r.a setelah melihat payung di atas kubur maka beliau menyuruh agar dibuang payung tersebut dan berkata : "Biarkanlah amalnya yang memayungkannya."
 
Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (beliau salah seorang dari kalangan ulama besarn as-Syafieyah) menjelaskan dalam kitabnya (المنهاج) bahawa Imam As-Syafie telah berfatwa : Dibenci mengapur, membaca dan menulis tulisan di atas kubur, samada menulis namanya di atas batu di sebelah kepalanya atau di tempat-tempat yang lainnya. Larangan dari Rasulullah SAW :  Dari Jabir r.a, dia berkata: “Rasulullah SAW telah melarang kuburan dikapur (disimen), dijadikan  tempat duduk, dan juga didirikan bangunan diatasnya.” (Hadith Riwayat Imam Muslim).

Sesetengah ulama seperti Imam Asy-Syaukani membenarkan menulis tulisan pada nisan tetapi sekadar untuk mengenal identiti kubur sahaja seperti nama dan bukannya ayat-ayat Al-Quran seperti yang ada pada batu nisan sekarang kerana ia termasuk larangan dalam hadith di atas.

Manakala hukum membina kubur dengan menggunakan marmar dan seumpamanya adalah haram dan amat bercanggah dengan ajaran Rasulullah SAW, kerana di situ berlaku pembaziran harta apatah lagi harta anak-anak yatim yang ditinggalkan oleh si mati. Selain itu, wujud sikap bongkak dan riak dengan harta kekayaan yang ada dan perbuatan tersebut amat dimurkai oleh Allah. Firman Allah : “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka  kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu). (Surah Al-Qasas :76).


No comments:

Post a Comment