Friday, September 30, 2011

Hukum Menutup Pintu Masjid di Luar Waktu Solat





gambar hiasan

Masjid merupakan tempat yang khusus untuk beribadat kepada Allah. Fungsi masjid begitu besar di awal era kebangkitan Islam. Pada zaman Rasulullah SAW masjid fungsi masjid bukan terhad untuk beribadah sahaja bahkan ianya turut berperanan sebagai pusat pentadbiran. Namun begitu pada hari ini masjid tidak lagi memainkan peranannya sebagai pusat pentadbiran seperti zaman Rasulullah SAW disebabkan berlaku pembaharuan dalam tahun demi tahun didalam sitem pentadbiran, yang mana masjid hanyalah berfungsi sebagai tempat untuk beribadah sahaja terutamanya untuk bersolat. Justeru, apa yang kita lihat sekarang ini terdapat banyak yang ditutup pintunya di luar waktu solat dan hanya dibuka pada waktu solat sahaja. Apakah hukumnya menutup pintu masjid di luar waktu solat?

Para ulama berbeza pendapat dalam bab hukum menutup pintu masjid di luar waktu solat. Ibnu Abidin di dalam kitabnya حاشية ابن العابدين (j 1 m/s 658) berpendapat bahawa makruh hukumnya  kerana seolah-olah menghalang orang ramai daripada melakukan solat, ini adalah berdasarkan firman Allah :

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menghalangi menyebut nama Allah dalam masjid-masjid-Nya, dan berusaha untuk merobohkannya? Mereka itu tidak sepatutnya masuk ke dalamnya (masjid Allah), kecuali dengan rasa takut (kepada Allah).Mereka di dunia mendapat kehinaan dan di akhirat mendapat siksa yang berat.”.(al-baqarah 114)

Manakala Imam Nawawi berpendapat di dalam kitabnya المجموع (j 2 m/s 196) bahawa tidak mengapa (harus) menutup pintu masjid di luar waktu solat untuk memelihara peralatan-peralatan yang terdapat di dalamnya, ini apabila takut berlaku penyalahgunaan ke atas masjid itu, sekiranya tidak ditakuti dengan membukanya membawa kepada mafsadah dan tidak berlaku pencerobohan ke atas kehormatannya serta dapat mendekatkannya dengan orang ramai, maka disunatkan membukanya sepertimana masjid yang tidak ditutup pada zaman Rasulullah SAW dan zaman selepas baginda.

Di dalam kitab فتح الباري لإبن رجب (j 3 m/s 277) sesetengah ulama mazhab Hanafi menghukumnya sebagai makruh kerana seolah-olah menegah orang lain daripada beribadat, sesetengah yang lainnya pula menghukumnya sebagai harus demi memelihara dan menjaga peralatan di dalamnya. 

No comments:

Post a Comment